Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan Yide Md Arifin Jaafar menyerahkan sumbangan kepada wakil Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Hulu Langat pada 13 Disember 2023. Foto Facebook Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide hulur sumbangan kepada pusat tahfiz Hulu Langat terbakar

SHAH ALAM, 15 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulur sumbangan segera kepada Maahad Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat yang musnah akibat kebakaran kelmarin.

Menurut Yide, insiden berkenaan memusnahkan hampir 70 peratus blok asrama yang menempatkan 30 pelajar tahfiz dan bomba masih menyiasat punca kebakaran.

“Sumbangan tunai kecemasan telah diserahkan oleh Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan Yide Md Arifin Jaafar kepada wakil pengusaha pusat tahfiz tersebut.

“Difahamkan juga, tiada pembukaan pusat penempatan sementara (PPS) bagi mangsa yang terlibat,” katanya menerusi Facebook.

Bomba memadam kebakaran Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Hulu Langat yang terbakar pada 13 Disember 2023. Foto Facebook Yide

Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah blok asrama Maahad Tahfiz Miftahul Ulum yang turut menempatkan bilik koperasi dan ruang dapur, musnah terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, tiada kecederaan dilaporkan berikutan pelajar berada di surau kerana sedang mengikuti pembelajaran.

Yide turut menzahirkan penghargaan kepada penyumbang dan mempelawa orang ramai terus menyumbang menerusi pautan https://pay.infaqyide.com.my/institusi/infaq-dana-musibah-malapetaka-yide atau https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/

“Setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, dan semestinya setiap sumbangan anda dapat mengukirkan senyuman setiap mangsa yang kami santuni,” katanya.


Pengarang :