Kemudahan khemah yang disediakan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

473 mangsa bah di Terengganu masih berlindung di dua PPS

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal 473 orang daripada 157 keluarga yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun setakat pagi ini, menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu berada pada tahap bahaya setakat 6 pagi ini.

Situasi itu melibatkan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Pahang di Bera dan Cameron Highland serta Sungai Rompin di Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah) dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang; Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor; Jalan Raya Timur Barat Kupang-Gerik Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Sungai Sok – Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan.

– BERNAMA


Pengarang :