AGENDAJENAYAH

Aset raja dadah dianggar RM190 juta, hadapi pertuduhan di Thailand

KANGAR, 15 JAN: Nilai aset lelaki didakwa ‘raja dadah Malaysia’ berusia 41 tahun yang ditahan di Laos baru-baru ini dianggarkan RM190 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki dari Perak itu pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) dan nilai aset itu berdasarkan sitaan peringkat awal ketika penahanannya sebelum ini.

“…nilai (aset) tak silap saya masa kita (polis) buat sitaan itu dalam (anggaran) RM190 juta, yang kita sita pada peringkat awal, sebahagian kita lucut hak dan sebahagian lagi kita pulangkan semula,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.

Pada 8 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan sebagai berkata lelaki yang berkahwin dengan wanita Thailand itu akan menghadapi pertuduhan di Thailand.

Media sebelum ini melaporkan suspek yang dikehendaki polis Thailand itu ditahan dalam operasi bersama Thai-Laos pada 29 Disember lalu.

– BERNAMA


Pengarang :