Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama sukarelawan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bergotong-royong membersihkan perabot yang diselaputi lumpur di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi pada 12 Januari 2024 susulan kejadian banjir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Kota Tinggi makin pulih, masuki fasa pascabanjir

KOTA TINGGI, 12 JAN: Daerah Kota Tinggi memasuki fasa pascabanjir bermula hari ini hingga 16 Januari susulan situasi banjir yang semakin pulih, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar@Jaafar.

Sehubungan itu, beliau menyeru belia, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membantu membersihkan rumah mangsa dan premis terkesan dengan bencana itu.

On berkata sukarelawan dan NGO berminat perlu terlebih dahulu mendaftar dengan pusat kawalan operasi banjir di Dewan Jubli Intan, di sini yang dikendalikan Majis Daerah Kota Tinggi (MDKT) untuk tujuan penyelarasan.

Beliau berkata menerusi pendaftaran, MDKT dapat mengagihkan kawasan terjejas yang memerlukan khidmat sukarelawan dengan lebih efektif selain membantu mengelak pembaziran dari segi penyediaan makanan.

“Tiada syarat dikenakan bagi individu yang ingin menjadi sukarelawan pascabanjir di sini, tetapi mereka digalak membawa kelengkapan sendiri terutama tong air. Jika ada lori tangki air, lebih baik kerana di kawasan ini sedang mengalami tekanan air yang rendah susulan ramai orang mencuci rumah masing-masing.

“Sukarelawan juga digalak memakai pakaian yang sesuai untuk melakukan kerja mencuci kotoran air banjir,” katanya ketika meninjau kerja mencuci di Sekolah Agama Kota Tinggi di sini hari ini.

Menurut On, setakat hari ini 500 sukarelawan membabitkan agensi kerajaan, swasta dan NGO turun membantu kerja pascabanjir di daerah berkenaan.

Setakat 1 tengah hari tadi, angka mangsa banjir di Johor menunjukkan penurunan kepada 4,630 orang di enam daerah terjejas berbanding 4,648 orang di tujuh daerah pada 12 tengah hari tadi.

Kota Tinggi merupakan daerah paling teruk terjejas sejak 7 Januari lalu dengan membabitkan 4,019 mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :