Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman membaca ikrar akujanji sempena upacara mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-11 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Cheremi Tarman angkat sumpah Datuk Bandar Shah Alam

SHAH ALAM, 19 JAN: Ir Cheremi Tarman mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam dalam satu majlis di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Cheremi dilantik sebagai Datuk Bandar Ke-11 berkuat kuasa semalam selepas memegang jawatan pemangku datuk bandar sejak 30 Oktober 2023 menggantikan Dr Nor Fuad Abdul Hamid yang berpindah ke Kementerian Pengangkutan.

Sebelum ini, Cheremi yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Selangor dilantik sebagai timbalan datuk bandar pada 9 Januari tahun lalu.

Turut berlangsung, majlis angkat sumpah 22 ahli majlis MBSA termasuk lapan lantikan baharu bagi penggal 2024-2025 di hadapan datuk bandar.

Selepas mengangkat sumpah, kesemua ahli majlis menandatangani dokumen perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972(Akta 388) dan akujanji integriti.

Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman memimpin ikrar 22 ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang baharu dilantik bagi sesi 2024-2025 di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Cheremi ketika ditemui berharap ahli majlis yang dilantik dapat melaksana tanggungjawab berdasarkan pelan dan garis panduan.

“Menjadi ahli majlis adalah platform terbaik dalam memimpin masyarakat dengan ambil peduli masalah yang mereka hadapi selain sama-sama mengawasi MBSA melaksana tugas.

“Saya juga memohon ahli majlis mematuhi prosedur kewangan dengan memastikan sebarang perbelanjaan penganjuran program mengemukakan resit bayaran dan senarai pembelian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 15, Muhamad Nizam Kamjan berkata beliau berazam mahu memberikan perkhidmatan terbaik buat penduduk di Sungai Kandis demi keselesaan semua.

Ahli Majlis MBSA Zon 15, Muhamad Nizam Kamjan

“Saya berhasrat untuk tambah baik kemudahan asas antara sistem saliran, jalan raya di kawasan perumahan dan perindustrian.

“Cabaran sebagai ahli majlis bukan mudah kerana masyarakat mahu setiap isu selesai segera tanpa mengetahui prosedurnya… tetapi tidak mengapa ini yang perlu ditangani dan saya akan cuba beri penerangan sewajarnya,” katanya.


Pengarang :