Penduduk mengunjungi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Bandar Puchong Jaya pada 15 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

DUN Kinrara sasar anjur JER dua kali sebulan, bantu lebih ramai penduduk

PUCHONG, 15 JAN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara berhasrat menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi memenuhi permintaan penduduk.

Penyelia pusat khidmat itu Rachel Lee berkata pihaknya berazam membantu lebih ramai penduduk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Sepanjang tahun lalu kita adakan lebih 50 kali JER di DUN Kinrara. Untuk tahun ini, kita mahu pertingkatkan lagi. Malah, jika ada slot kosong kita juga tidak teragak-agak untuk terima.

Penyelia Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Rachel Lee. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Ini semua kita lakukan untuk membantu penduduk terutama mereka yang miskin dan tidak mampu membeli barangan dapur di pasar raya,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu beliau meninjau program JER anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Bandar Puchong Jaya di sini, hari ini.

Menurut Rachel, 250 nombor giliran yang disediakan pihaknya habis kira-kira jam 9 pagi, satu jam sebelum program jualan murah tersebut berlangsung.

Jelasnya, penduduk sudah beratur seawal 7.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran dan ia perkara biasa di setiap lokasi program JER di DUN berkenaan.

“Hari ini, anggaran penduduk yang datang 400 orang. Saya harap PKPS dapat tambah lagi kuantiti barangan supaya lebih ramai dapat beli,” katanya.

Sementara itu, pembeli, Nor Asiah Ibrahim, 38, mengakui sangat menantikan kehadiran trak JER di DUN Kinrara untuk membeli barangan keperluan harian.

Suri rumah, Nor Asiah Ibrahim, 38. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Beliau yang sudah mengunjungi program JER sebanyak tujuh kali sebelum ini berkata, semua barangan dijual pada harga berpatutan selain berkualiti tinggi.

“Walaupun harga barangan ini lebih rendah berbanding pasaran tetapi barangan yang dijual sangat baik, contohnya seperti sardin dalam tin. Saya sangat berpuas hati dengan produk ini,” kata suri rumah ini.

Pesara, Tan Chan Moy, 66, berkata program JER menawarkan penjimatan terutama ketika beliau perlu menyediakan barangan keperluan untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

“Hari ini saya beli tepung dan biskut. Saya beli sedikit-sedikit untuk sambut Tahun Baharu Cina. Kalau program ini diadakan lagi minggu hadapan, saya mahu beli untuk persiapan makan besar pula,” katanya.

Pesara, Tan Chan Moy, 66. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Pengarang :