Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya bergambar bersama Yang Dipertua Dr Ani Ahmad (lima, kiri) selepas upacara angkat sumpah jawatan di Menara MPAJ pada 18 Januari 2024. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Enam wanita antara 23 ahli majlis MPAJ angkat sumpah jawatan

AMPANG JAYA, 18 JAN: Seramai 23 ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) termasuk tujuh lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata 25 peratus atau enam daripada lantikan bagi penggal 2024-2025 itu adalah wanita.

“Tahniah kepada semua yang dilantik hari ini, semoga amanah yang diberi dapat dipikul dengan penuh tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Ampang Jaya.

“Pintu pejabat saya sentiasa terbuka untuk anda datang bagi berbincang mengenai soal dasar, pengurusan, isu penduduk dan sebagainya.

“Insya-Allah, kita bergerak ke hadapan sebagai satu keluarga besar dan bersatu hati harungi segala cabaran dengan menumpukan kepada peningkatan hasil termasuk melaksanakan langkah penjimatan,” katanya ketika berucap.

Ahli Majlis lantikan baharu, Rosmayana Abu Rahim mewakili Amanah berkata beliau mahu memberi perkhidmatan sebaiknya kepada penduduk Ampang Jaya.

“Saya akan menggunakan pengalaman enam tahun dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat sekali gus memperkasa wanita supaya terus maju ke hadapan,” katanya.

Manakala Teh Hong Keat yang mewakili DAP mahu berjumpa dengan penduduk untuk berbincang secara baik mengenai kadar kenaikan baharu cukai taksiran tahun depan.

“Saya dan warga MPAJ akan mengadakan pertemuan dengan penduduk berhubung perkara itu selain berusaha mendalami isu tempatan di Ampang Jaya dan menyelesaikan sebaiknya,” katanya.


Pengarang :