Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tarif baharu: Selangor terus bantu penerima air percuma, rumah ibadah

Berikut kenyataan penuh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung pelarasan tarif air Semenanjung Malaysia yang diterbitkan pada 18 Januari 2024.

Susulan pengumuman pelarasan tarif air di seluruh Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang akan bermula pada 1 Februari 2024, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bermesyuarat dan telah mengambil beberapa ketetapan.

Disebabkan ini adalah pelarasan tarif air pertama sejak 18 tahun lalu, iaitu pada tahun 2006, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan termasuk agensi pelaksana iaitu SPAN, namun akan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesan pelarasan tarif air kepada rakyat negeri Selangor.

Di peringkat negeri, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merupakan penyedia perkhidmatan bekalan air terbesar di Malaysia, yang menyampaikan air bersih kepada lebih lapan juta rakyat yang meliputi 2,661,743 akaun termasuk pengguna domestik serta bukan domestik yang merangkumi perusahaan kecil dan sederhana sehingga kepada perusahaan multinasional.

Berdasarkan pengumuman oleh SPAN, pelarasan tarif air di negeri Selangor adalah seperti berikut:

1.0 Kategori domestik

Pertama, caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50.

1.1 Penggunaan air sehingga 20 meter padu
Bagi rumah yang menggunakan air hingga 20 meter padu (m3), kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih sebanyak 8 sen iaitu kepada RM0.65 bermula daripada 0 meter padu sehingga 20 meter padu.

Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu dan ke bawah setiap bulan, caj baharu akan meningkat maksima sekitar RM1.60 sebulan.

1.2 Penggunaan air 20 meter padu hingga 35 meter padu
Kadar caj baharu bagi kategori ini akan beralih sebanyak RM0.29 kepada RM1.32 bagi setiap meter padu. Maksudnya, peningkatan keseluruhan bagi rumah yang menggunakan air sehingga 35 meter padu adalah maksima sebanyak RM5.95 sebulan.

1.3 Penggunaan air lebih 35 meter padu
Manakala bagi penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah RM2.63 bagi setiap meter padu berbanding kadar lama iaitu RM2.

1.4 Kondominium
Untuk kategori kondominium pula, caj minimum secara pukal akan kekal pada RM173 sebulan, dan caj baharu beralih sebanyak 30 sen kepada RM1.68 bagi penggunaan setiap meter padu air.

1.5 Estet dan kuarters kerajaan
Bagi estet dan kuarters kerajaan, kadar caj baharu akan meningkat sebanyak 68 sen kepada RM1.68, dan caj minima baharu adalah RM16.80 sebulan berbanding sebelum ini iaitu RM12.

1.6 Rumah kos rendah
Manakala kadar baharu bagi kategori rumah kos rendah adalah RM0.98 bagi setiap meter padu air, caj paling rendah dan peningkatan paling kecil bagi semua kategori kediaman, iaitu sebanyak 18 sen bagi setiap meter padu.

2.0 Kategori bukan domestik dan kategori khas

2.1 Bukan domestik
Perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain akan melihat peralihan kadar baharu kepada RM2.70 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu, manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM2.94 bagi setiap meter padu.

Rumah ibadah dan institusi kebajikan
Penggunaan air dalam kategori ini diberikan kelonggaran caj dengan kadar rata dan paling rendah, iaitu peningkatan 6 sen bagi setiap meter padu ke RM0.66. Selain itu, bagi kategori kapal, kadar baharu akan beralih dari RM7 kepada RM7.08.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pelarasan ini akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor untuk mengelakkan isu paip bocor dan paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150km setahun kepada 300km setahun bermula tahun ini.

Tambahan kepada itu, pembinaan loji rawatan air baharu akan diperkukuhkan bagi meningkatkan margin rizab air kepada 20 peratus menjelang tahun 2030, termasuk melipatgandakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset seperti paip baharu bagi kawasan yang mengalami tekanan air rendah.

Selain itu, tahap kualiti air yang disampaikan kepada rakyat dapat terus dikekalkan pada 99 peratus mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia dengan penambahan pemasangan online analyser untuk memantau kualiti air.

Kerajaan Negeri melalui Air Selangor juga akan memantapkan kualiti perkhidmatan yang lebih responsif dan efisien kepada rakyat termasuk penaiktarafan aplikasi Air Selangor.

Dengan mengambil kira peningkatan ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil ketetapan berikut:

Pertama, Kerajaan Negeri akan menyerap dan tanggung peningkatan kos bagi lebih 1 juta rakyat yang meliputi 285,673 akaun yang merupakan penerima air percuma melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE).

Ini membawa maksud bahawa manfaat yang diterima bagi setiap isi rumah yang menerima SADE sebelum ini sebanyak anggaran RM11.40 sebulan meningkat kepada RM13 sebulan. Kos tanggungan Kerajaan Negeri akan meningkat daripada RM31.8 juta kepada anggaran RM37.3 juta setahun.

Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di negeri Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta.

Secara keseluruhan, tanggungan kos kepada Kerajaan Negeri bagi pemberian air percuma melalui SADE dan penyerapan peningkatan tarif air bagi rumah ibadah dan rumah kebajikan adalah sebanyak anggaran RM40 juta setahun, dan jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2024 bagi bantuan air percuma adalah mencukupi bagi manfaat dan kemaslahatan rakyat.

Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri juga membuka peluang kepada rakyat negeri yang berpendapatan RM5,000 ke bawah dan ingin memohon untuk air percuma SADE untuk melayari laman web https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/ bagi maklumat lanjut serta proses pemberian air percuma.

 


Pengarang :