SHAH ALAM, 29 JAN: Sejumlah RM200,000 bakal diagih kepada 200 pelajar asnaf tahun ini menerusi sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Timbalan setiusaha Kerajaan Negeri (pengurusan) berkata menerusi inisiatif yang diperkenalkan tahun lalu, pelajar berkenaan layak menerima sumbangan RM1,000 seorang.
“Usaha ini adalah antara langkah Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pelajar menabung dan menyimpan wang untuk pendidikan pada masa depan.
“Tahun lalu kita pilih pelajar institusi pengajian tinggi tapi kali ini berkemungkinan kepada semua peringkat kerana ini adalah peruntukan pendidikan,” kata Mohamad Zahri Samingon.
Beliau ditemui selepas mewakil Dato’ Menteri Besar merasmikan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Karnival Eksplorasi STEM peringkat negeri di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.
Tahun lalu, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM325,000 bagi sumbangan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada 650 mahasiswa asnaf.
Menerima sumbangan RM650 setiap seorang, ia melibatkan 36 pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Universiti Selangor (111 penerima) dan Universiti Islam Selangor dengan (118 penerima).
Selain itu, Universiti Putra Malaysia (125 penerima) serta Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA, masing-masing 130 penerima.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/p1-2-500x333.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/p2-500x333.jpg.webp)