Penduduk Palestin melihat kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel, di tengah-tengah gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel, di Khan Younis, Semenanjung Gaza pada 24 November 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Hampir dua juta penduduk Gaza dianggar hilang tempat tinggal

NEW YORK, 4 JAN: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata seramai 1.9 juta orang atau hampir 85 peratus daripada jumlah penduduk Gaza dianggarkan hilang tempat tinggal.

Ini termasuk beberapa penduduk yang telah berpindah beberapa kali kerana mencari tempat selamat untuk berlindung, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

UNRWA berkata hampir 1.4 juta orang pelarian dalam negara (IDP) berlindung di 155 kemudahan UNRWA di semua lima wilayah.

Rafah kini menjadi tempat perlindungan utama bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dengan lebih sejuta orang tinggal berhimpit-himpit di dalam ruang yang sangat sesak di wilayah itu.

Ini berikutan peningkatan pertempuran di Khan Younis dan Deir al Balah, selain perintah pengusiran tentera Israel.

Justeru usaha mendapatkan angka tepat bagi bilangan sebenar IDP menjadi tugas yang mencabar.

UNRWA berkata bilangan IDP di wilayah utara tidak dikemas kini sejak 12 Okt lepas kerana kekangan akses dan keadaan keselamatan yang menghalang pengesahan dibuat.

— BERNAMA-WAFA


Pengarang :