Usahawan Yayasan Hijrah Selangor bergambar bersama ketika Majlis Penutup Strategi Super TikTok 2023 di Hotel TH, Petaling Jaya pada 29 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah Selangor perkenal sistem ejen kutipan, tuntut tunggakan pinjaman lebih RM100 juta

SHAH ALAM, 11 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menumpukan usaha lebih serius tahun ini bagi menuntut tunggakan pinjaman berjumlah lebih RM100 juta sejak 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mearia Hamzah berkata pinjaman membabitkan 16,000 akaun itu perlu dituntut bagi memudahkan pusingan modal kepada peminjam baharu.

Sehubungan itu katanya, Hijrah Selangor memperkenalkan sistem ejen kutipan dan pusat panggilan kredit sebagai inisiatif baharu yang sudah beroperasi sejak September lalu.

“Untuk 2024 kita mahu tingkatkan usaha mengutip semua tunggakan pinjaman. Kita guna ejen kutipan dan pusat panggilan kredit untuk melaksanakan usaha ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) Dato’ Mearia Hamzah (tengah) ditemui pada sidang media Kempen Bayar Balik dan Menang 2023 di pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Shah Alam pada 10 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Kita juga tidak menolak kemungkinan akan melaksana syarat ketat kepada peminjam baharu bagi memastikan bayaran pinjaman dapat dibuat kembali,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau menghadiri cabutan bertuah bagi hadiah utama Kempen Bayar Balik dan Menang 2023 di pejabat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di sini, semalam.

Mearia menambah, kira-kira 300 peminjam Hijrah Selangor dikesan tidak pernah membuat bayaran balik dan sudah disenarai hitam dalam khidmat maklumat kredit, CTOS Data Systems Sdn Bhd.

Jelasnya, Hijrah Selangor juga sedia memberi ruang kepada peminjam untuk membuat penstrukturan bayaran balik pinjaman bagi memudahkan urusan peminjam.

“Bermula 2024, kita juga akan ambil tindakan undang-undang kepada peminjam yang culas. Ada yang langsung tidak pernah membuat bayaran dan mereka ini dalam pemantauan kita,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2015, Hijrah Selangor menawarkan pelbagai skim pembiayaan seperti Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero; Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI).

Selain itu agensi berkenaan turut menyediakan Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim bagi membantu dari segi modal serta mengembangkan perniagaan usahawan.


Pengarang :