SHAH ALAM, 26 JAN: Sebanyak 4,028 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Karnival Jelajah JobCare Selangor di Dewan Hamzah, Klang pada 3 Februari ini.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata karnival anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menampilkan 27 majikan dengan pelbagai jawatan ditawarkan.
“Ini merupakan program kemuncak selepas Karnival Jelajah JobCare Selangor dianjurkan di sembilan daerah sejak Ogos tahun lalu.
“Justeru, kita sasarkan lebih 2,000 orang hadir mencari peluang pekerjaan baharu atau mereka yang telah tamat belajar,” katanya ketika ditemui di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, hari ini.
Menurut Papparaidu, karnival dijadual bermula 9 pagi hingga 5 petang itu turut menjalankan temuduga secara terus kepada calon terpilih.
Jelasnya, tiada had umur dan taraf pendidikan tertentu ditetapkan dan peserta digalakkan mendaftar di myfuturejobs.gov.my/careerfair/
“Orang ramai juga boleh datang secara terus dan tidak perlu membuat pendaftaran. Masuk adalah percuma,” katanya.
Antara majikan terlibat dalam program berkenaan adalah The Chicken Rice Shop, Ramly Burger, Mah Sing Healthcare, Sports Direct, 99 Speedmart dan Sate Kajang Haji Samuri.