Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berucap sempena majlis jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang bersama penjawat awam di De Palma Resort, Kuala Selangor pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jelajah Madani: PM dijangka umum ‘buah tangan’ untuk rakyat Selangor

KUALA SELANGOR, 19 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan ‘buah tangan’ kepada rakyat Selangor ketika Jelajah Madani peringkat negeri bulan hadapan.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Anwar dalam program tiga hari mulai 23 Februari.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin bercakap kepada media selepas majlis jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang bersama penjawat awam di De Palma Resort, Kuala Selangor pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Buah tangan ke Selangor, kita tunggu Perdana Menteri umum. Setakat ini, program tersebut merupakan program susulan sempena sambutan satu tahun Malaysia Madani tahun lalu.

“Ia beri peluang kepada semua jabatan dan agensi kerajaan untuk terangkan pada rakyat apa yang mereka lakukan supaya masyarakat dapat informasi sebenar,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bersama penjawat awam di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Penyelaras Dun Permatang Yahya Mat Sahri menyampaikan cenderamata kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sempena majlis jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang bersama penjawat awam di De Palma Resort, Kuala Selangor pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, penyelaras DUN Permatang Mohd Yahya Mat Sahri berharap Anwar mengumumkan bantuan kepada pesawah yang berdepan masalah kesuburan tanah sehingga menjejaskan pengeluaran padi.

Menurutnya, perkara tersebut dialami mereka sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan kawasan seluas hampir 2,000 hektar di sekitar Tanjung Karang dan Sabak Bernam.

“Isunya kita sedang hadapi masalah tanah yang tidak subur. Jadi kita perlukan satu peruntukan yang besar agar kajian dan baik pulih dapat dilaksanakan untuk bantu pesawah ini bangkit semula,” katanya.

Selangor akan menjadi negeri pertama sebagai tuan rumah bagi siri Jelajah Madani peringkat negeri yang akan diadakan di Stadium Kuala Selangor, di sini.

Jelajah Madani peringkat negeri merupakan program susulan selepas kejayaan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember lalu.


Pengarang :