EXCO Pembangunan Keusahawanan Najwan Halimi mengimbas kod QR Platform Selangor (PLATS) untuk menebus RM5 yang diberi percuma ketika meninjau program PLATS Masuk Pasar di pasar malam Setia Taipan, Shah Alam pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kempen PLATS bazar Ramadan diperluas ke luar bandar, bayaran dalam talian

SUBANG JAYA, 7 JAN: Kempen Platform Selangor (PLATS) di bazar Ramadan tahun ini bakal diperluas ke kawasan luar bandar di seluruh Selangor.

EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri berhasrat memberi pendedahan kepada usahawan desa dengan konsep pembayaran dalam talian.

“Kita mahu kembangkan lagi di luar bandar. Di bandar sudah semakin ramai yang bergerak dengan konsep pembayaran dalam talian ini dan ia bukan sesuatu yang asing.

“Untuk program PLATS di bazar Ramadan, kita fokus seluruh negeri tapi kita mahu kenalpasti kawasan luar bandar khususnya yang belum didedahkan dengan pembayaran digital,” katanya kepada Selangorkini.

EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Najwan Halimi berucap pada majlis perasmian Agenda Public Speaking Workshop 2024 di Universiti Sunway, Subang Jaya pada 6 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas merasmikan program pengucapan awam Agenda Public Speaking Workshop 2024 di Universiti Sunway di sini semalam.

Najwan menambah, antara cabaran yang dijangka dihadapi ketika pelaksanaan kempen PLATS di luar bandar adalah berhubung capaian internet yang terhad.

Bagaimanapun, jelasnya, isu tersebut akan cuba ditangani menerusi kerjasama bersama syarikat telekomunikasi berkaitan dari masa ke semasa.

“Antara cabarannya adalah ada kawasan luar bandar masih belum dapat capaian internet 5G. Insyaallah kita akan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk kita bantu,” katanya.

Disember lalu, Najwan memaklumkan kempen PLATS akan diperluas ke bazar Ramadan seluruh negeri pada 2024 bagi mendukung inisiatif pendigitalan.

Menurutnya, insiatif berkenaan juga bakal meneruskan penggunaan Kupon Rahmah PLATS digital yang akan diedar kepada orang awam menerusi kod respon pantas (QR).


Pengarang :