Sukarelawan MyCARE mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk Palestin di Beit Lahiya di Utara Gaza pada 16 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Pusat bantuan Raja Salman hantar 4,500 tan bantuan ke Gaza

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) Arab Saudi telah menghantar lebih 4,500 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Menurut Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, bantuan termasuk barangan makanan, bekalan perubatan dan khemah itu dihantar menggunakan perkhidmatan udara dan laut.

Setakat 26 Dis 2023 sebanyak empat kapal telah menghantar bantuan ke Gaza.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) juga melaporkan bahawa pesawat ke-37 yang membawa bantuan kemanusiaan itu berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish Mesir pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 22,600 rakyat Palestin terbunuh manakala 57,910 lagi cedera dalam serangan berterusan rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, menurut media antarabangsa.

Serangan itu juga menyebabkan 60 peratus infrastruktur di Gaza rosak atau musnah manakala hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal selain terpaksa bergelut dengan masalah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

-BERNAMA


Pengarang :