Pengarah Urusan Kusel Khairul Azmi Misran menunjukkan buku Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti dan Penggalian Jalan Negeri Selangor dalam sesi temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kusel jadi pemudah cara, terima lebih 2,000 permohonan permit utiliti

SHAH ALAM, 25 JAN: Koridor Utiliti Selangor (Kusel) yang bertanggungjawab menjadi pemudah cara dalam urusan pembangunan utiliti menerima 2,203 permohonan permit setakat ini.

Pengarah Urusannya Khairul Azmi Misran menjelaskan angka direkodkan sejak Mac 2022 merangkumi penyediaan utiliti air, elektrik, telekomunikasi, gas dan pembentungan.

Bertindak sebagai pemudah cara, beliau menjelaskan kelulusan pula dibuat pihak tertentu sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat tanah dan daerah atau Jabatan Kerja Raya.

“Kita hanya sebagai pemudah cara untuk memanjangkan permohonan syarikat atau agensi tertentu mendapatkan kebenaran pembangunan di negeri ini.

“Agensi dan syarikat yang membuat permohonan permit antaranya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad, Gas Malaysia dan Petronas Gas Berhad,” katanya kepada Selangorkini.

Kusel bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI ditubuh bagi memastikan penyedia utiliti menepati garis panduan dan penggalian jalan negeri yang diterbitkan PlanMalaysia@Selangor.

Penubuhannya juga selaras hasrat menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang 2025 dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk masyarakat.

 


Pengarang :