SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 36,326 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang akan memasuki darjah satu tahun ini layak menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS).
Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata bantuan persekolahan itu meliputi beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung.
Menurut Sharizan Mohd Shariff ibu bapa boleh menyemak aplikasi Tawas untuk melihat kelayakan dan kaedah penebusan bantuan berkenaan.
“Muat turun aplikasi Yawas sekarang dan daftar bagi melancarkan proses tuntutan. Bantuan boleh diambil di pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dinyatakan (menerusi aplikasi).
“Semoga bantuan ini meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak dan pada masa sama memberi keceriaan kepada kanak-kanak ini untuk memasuki darjah satu,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini Yawas meminta ibu bapa atau penjaga ahli Tawas kelahiran 2017 yang akan memasuki tahun satu mengemas kini maklumat untuk agihan bantuan.
Tawas antara program kebajikan negeri dilancarkan pada 2008 terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu didaftar sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun.