AGENDAJENAYAH

Lelaki hilang 10 hari ditemukan maut dalam saliran air

SUNGAI PETANI, 26 JAN: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu ditemukan di dalam saliran air di selekoh Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata polis menerima aduan awam jam 7.30 malam tadi berhubung penemuan mayat lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu.

“Polis menerima aduan mengenai penemuan mayat bersama motosikal jenis Honda RS150 di dalam saliran air.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam saliran air sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata kedalaman saliran air hampir tiga meter menyebabkan mangsa sukar dilihat dan mendapat bantuan ketika kejadian.

“Terdapat garisan pada bahu jalan sebelah kanan dipercayai akibat terkena motosikal mangsa dan soal siasat bersama waris mangsa mendapati kali terakhir mangsa ditemui 9 Januari lalu.

“Waris turut mengesahkan motosikal yang ditemukan adalah motosikal sering digunakan mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA


Pengarang :