Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky ketika sesi latihan bersama skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia pada 22 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

BAM pertaruh skuad terbaik harungi cabaran kejohanan badminton Asia

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan barisan terkuat bagi mengharungi cabaran Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, dari 13 hingga 18 Februari ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata bagi pasukan lelaki yang turun selaku juara bertahan, misi negara bakal digalas Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Justin Hoh dan Eogene Ewe untuk kategori perseorangan.

Juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengepelai kem beregu diikuti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu meningkat naik, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Menurut Rexy, keputusan menghantar pasukan itu dibuat memandangkan negara lain seperti China, Korea Selatan dan India juga mempertaruhkan barisan terbaik mereka bagi edisi kali ini, yang turut menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Persaingan kali ini tidak sama dengan dua tahun lepas, ini kerana ketika ini semua pasukan dalam pecutan akhir (kumpul mata kelayakan Paris 2024) dan letak pemain terbaik untuk kukuhkan kedudukan mereka.

“Saya yakin semua jurulatih sudah mempelajari kelemahan dan kekuatan lawan. Jadi sekarang terpulang kepada jurulatih untuk menyediakan pemain (untuk) bersaing,” kata Rexy pada sidang media di sini, hari ini.

Jurulatih dari Indonesia itu juga berharap Zii Jia dapat mengekalkan momentumnya selepas mara ke suku akhir pada Masters Indonesia hari ini, selain mahu melihat Tze Yong menampilkan aksi terbaik biarpun masih menjalani pemulihan daripada masalah kecederaan otot belakang.

Beliau juga yakin Aaron-Wooi Yik mampu mengutip mata untuk negara, selain mahu Sze Fei-Nur Izzuddin mengurangkan kesilapan agar tidak mengulangi insiden tersingkir pada pusingan pertama Masters Indonesia 2024, baru-baru ini.

Sze Fei-Nur Izzuddin tewas di tangan wakil Thailand, Pharanyu Kaosamang-Worrapol Thongsa-nga, 21-14, 14-21, 18-21.

Sementara itu, Rexy berkata Goh Jin Wei serta beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah disenaraikan untuk mewakili skuad wanita pada kejohanan berkenaan.

Rexy berkata walaupun pemain beregu wanita negara Anna Ching Yik Cheong terpaksa melupakan saingan BATC kali ini susulan kecederaan, namun barisan kejurulatihan tetap menyenaraikan pasangannya Teoh Mei Xing.

Bagaimanapun katanya gandingan Mei Xing masih belum ditentukan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih perseorangan wanita K. Yogendran mengimpikan untuk melihat skuad negara menampilkan persembahan terbaik pada saingan kali ini selepas layak ke separuh akhir pada edisi 2022.

Berikut senarai penuh barisan pemain negara ke BATC 2024:

Lelaki: Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Justin Hoh, Eogene Ewe, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Choong Hon Jian, Muhammad Haikal Nazri.

Wanita: Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Nurshuhaini Azman, Pearly Tan, M. Thinaah, Teoh Mei Xing, Go Pei Kee, Low Yeen Yuan, Tan Zhing Yi.

– BERNAMA

 


Pengarang :