Pemandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Lembah Klang Raya perkasa pengangkutan awam, kurangkan kesesakan

SUBANG JAYA, 20 JAN: Penjajaran semula pengangkutan awam menjadi fokus dalam agenda pentadbiran Lembah Klang Raya, kata EXCO mobiliti.

Ng Sze Han berkata tumpuan bakal mempercepatkan peralihan penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang yang mampu mengurangkan kesesakan.

“Ini akan membaiki kehidupan rakyat yang lebih baik dan berkualiti. Usaha ini turut menghasilkan banyak peluang kerja berkemahiran serta bernilai tinggi.

“Oleh itu rakyat Selangor berpeluang memperoleh gaji setimpal sesuai dengan kehidupan di negeri ini,” katanya pada anugerah majlis perwakilan penduduk (MPP) Majlis Bandaraya Subang Jaya, di sini malam tadi.

EXCO Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bergambar bersama ahli majlis yang tamat perkhidmatan pada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Hotel The Summit, Subang Jaya pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menerusi belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Selangor mahu mewujudkan Lembah Klang Raya, gabungan empat bandar raya menerusi peruntukan RM2 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem dibuat selepas melihat bandar raya terbabit memiliki pelbagai industri utama selain berdepan cabaran sama sepert pengangkutan awam, pegangan tanah dan hal kebajikan masyarakat.

Lembah Klang Raya dibangunkan dengan tujuan seperti berikut:

1. Mewujudkan pentadbiran yang lebih lancar dan responsif bagi penduduk serta komuniti perniagaan termasuk menyeragamkan proses permohonan perniagaan, pelesenan, dan kelulusan

2. Proses rejuvenasi bandar-bandar matang

3. Menjadi ‘test bed’ bagi pentadbiran kerajaan digital dengan membina sistem digital twin Lembah Klang Raya bagi membolehkan simulasi seperti pengurusan trafik, bencana, proses pembangunan termasuk reka bentuk bangunan dan kebenaran merancang

4. Mempercepatkan transisi daripada penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam

5. Mengoptimumkan sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan

6. Mewujudkan pentadbiran lokaliti pertama yang mesra warga emas, orang kelainan upaya, mesra kanak-kanak, serta menjayakan hasrat Low Carbon City pertama Malaysia.


Pengarang :