Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka kaunter Ez-Pay di beberapa lokasi bagi memudahkan urusan pembayaran. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
AGENDABERITA UTAMA

Perkenal Enakmen Lembah Klang Raya, gabung pentadbiran empat bandar raya

SHAH ALAM, 10 NOV: Selangor bakal mewujudkan pentadbiran Lembah Klang Raya meliputi empat bandar raya menerusi peruntukan RM2 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata sistem membabitkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang dibuat melalui penggubalan Enakmen Lembah Klang Raya.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, empat bandar raya terbabit memiliki pelbagai industri utama selain berdepan cabaran sama seperti isu pengangkutan awam, pegangan tanah dan hal kebajikan masyarakat.

“Kebanyakan industri-industri utama di Selangor juga telah bertapak di sini sekian lama dan menyumbang kepada kemajuan kawasan-kawasan ini.

“Antara cabaran yang bakal dihadapi adalah masyarakat menua, serta aspek seperti kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan, pengangkutan awam, rejuvenasi kawasan kediaman dan komersial sedia ada, isu tanah pegangan pajakan yang hampir matang terutamanya di Petaling Jaya.

“Kesemua ini harus ditangani bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan berdaya huni bagi semua, khususnya generasi akan datang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 hari ini.

Klang dijangka menerima pengiktirafan sebagai bandar raya pada 23 November ini, yang akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Lembah Klang Raya dibangunkan dengan tujuan seperti berikut:

1. Mewujudkan pentadbiran yang lebih lancar dan responsif bagi penduduk serta komuniti perniagaan termasuk menyeragamkan proses permohonan perniagaan, pelesenan, dan kelulusan

2. Proses rejuvenasi bandar-bandar matang

3. Menjadi ‘test bed’ bagi pentadbiran kerajaan digital dengan membina sistem digital twin Lembah Klang Raya bagi membolehkan simulasi seperti pengurusan trafik, bencana, proses pembangunan termasuk reka bentuk bangunan dan kebenaran merancang

4. Mempercepatkan transisi daripada penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam

5. Mengoptimumkan sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan

6. Mewujudkan pentadbiran lokaliti pertama yang mesra warga emas, orang kelainan upaya, mesra kanak-kanak, serta menjayakan hasrat Low Carbon City pertama Malaysia


Pengarang :