Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pembangunan semula Stadium Shah Alam bermula lepas stesen TNB dialih

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerja pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan dilakukan sebaik sahaja stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dialihkan.

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini proses pengalihan stesen yang menyalur tenaga elektrik kepada semua pengguna sekitar Seksyen 13 sedang berjalan.

“Kalau tak ubah, seluruh Seksyen 13 akan bergelap. Langkah ini lebih baik berbanding membina stesen TNB baharu yang mengambil masa lama dan perobohan (hanya) dapat dibuat dalam tempoh setahun lagi.

“Selepas alih kita akan teruskan proses roboh. Majlis Bandaraya Shah Alam sudah beri kebenaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ditemui pada majlis Amanat Tahun Baharu 2024, beliau berkata proses perobohan menggunakan kaedah manual berbanding penggunaan bom peledak.

“Kita gunakan mesin. Jika guna bom peledak, akan beri kesan kepada kejiranan di sekitar stadium. Jadi proses ambil masa kerana banyak kerja dilakukan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 15 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri bakal membina kompleks sukan baharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada di Seksyen 13 yang rosak akibat banjir mulai 2006.

Bencana itu, termasuk pada 2013 dan 2021, mengakibatkan kerosakan padang, sistem pendawaian, bilik bekalan elektrik, bilik persalinan dan aras bawah stadium selain aspek keselamatan terjejas.

Pada 21 November ketika sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2024 dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, Amirudin memaklumkan pelan kebenaran merancang dihantar pada 15 November dan proses perobohan stadium dijangka melibatkan anggaran kos RM30 juta hingga RM50 juta.

Projek KSSA atas tanah seluas lebih 80 hektar meliputi pembinaan hotel, stesen perkhidmatan awam bersepadu, pusat teater dan kawasan komersial.

Ia juga bakal menampilkan stadium bercantum bertaraf antarabangsa dengan kapasiti 35,000 hingga 45,000 penonton selain menyedia tanah seluas 10 ekar bagi pembinaan projek tebatan banjir dan kolam tadahan.


Pengarang :