AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki warga asing disyaki terlibat kes samun bersenjata

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes samun berkawan bersenjata di sebuah kedai haiwan di Taman Muda, Ampang pada 22 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sekitar Ampang pada hari Jumaat lepas, susulan aduan oleh pemilik kedai haiwan itu yang berumur 54 tahun.

Beliau berkata dalam kejadian samun itu pukul 3.56 petang itu, suspek dipercayai memasuki kedai haiwan berkenaan dan mengeluarkan sebilah parang untuk menyamun, manakala seorang lagi rakannya menunggu di luar kedai.

Sementara itu seorang lelaki yang dikehendaki polis berkaitan kes dadah, ditahan di Jalan Hujan Gerimis, Overseas Union Garden di sini dua hari lepas, kerana disyaki terlibat mencuri kabel.

Mohd Azam berkata penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang juruteknik pada pukul 11.49 pagi pada hari sama, selepas mendapati ada kabel yang telah dipotong dan dicuri, dan menurutnya kabel yang hilang dianggarkan sepanjang 150 meter bernilai kira-kira RM6,000.

“Hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah, dan mempunyai 18 rekod berkaitan jenayah serta dadah, Suspek kini direman hingga 23 Jan depan,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :