Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah pada program sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan di Dataran Majlis Perbandaran Klang pada 20 Januari 2024. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bakal noktah isu miskin tegar di bawah kerajaan sedia ada

KLANG, 21 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin isu miskin tegar di Selangor dapat diuruskan dengan baik dan mampu diselesaikan di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada.

Menurut perdana menteri, masalah itu dapat diuruskan susulan hasil (pendapatan) negeri itu baik.

“Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kita telah berjaya menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat. Kalau ada maklumkan pada kita mungkin ada yang tercicir.

“Jika berbicara tentang miskin, ia bukan babit Melayu, Cina, India kerana ini soal kemiskinan dan semuanya menjadi masalah nasional sebab itu kita cuba lakukan yang terbaik.

“Di Selangor, saya tunggu daripada Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) laporan lengkap dalam seminggu dua jumlah berapa yang tercicir.

“Namun, sudah tentu kerajaan negeri dapat uruskan dengan baik, dengan hasil yang baik boleh dan mampu selesaikan. Saya yakin Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dapat selesai masalah kemiskinan,” katanya pada sambutan pesta Ponggal peringkat kebangsaan 2024 di Padang Chetty di sini, malam tadi.

Anwar berkata selain kemiskinan antara keutamaannya dalam membantu rakyat adalah sekolah, kemudahan kesihatan dan peluang perniagaan.

“Contohnya sekolah yang melibatkan isu tandas, saya telah beri arahan semua sekolah tidak kira kebangsaan, Tamil dan Cina semua perlu dibantu dengan kemudahan asas.

“Kita peruntuk RM1 bilion untuk baiki 8,600 tandas sekolah rosak, ini perlu diselesaikan. Hendak bangga apa, ekonomi hebat, bangunan pencakar langit sedangkan tandas tidak dibetulkan,” katanya.


Pengarang :