EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) bersama Presiden Institut Perancang Malaysia Datin Noraida Saludin (kiri) menanam pokok sambil diperhatikan Timbalan Pengarah Perancang Bandar MBSJ Hazman Mohd Mahayudin ketika program Pledge and Plant A Tree (PAPAT) di BK 3/1 Bandar Kinrara, Subang Jaya pada 13 Januari 2023. Foto ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor tekad pacu usaha lestari alam sekitar, selari strategik RS-1

SUBANG JAYA, 13 JAN: Kerajaan Negeri tekad memacu usaha melestari alam sekitar khususnya menerusi program penanaman pokok yang selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata program penanaman pokok dianjurkan pelbagai pihak dapat menggalakkan kehijauan persekitaran terutamanya di kawasan bandar sekali gus mengurangkan karbon.

“Seperti hari, program penanaman pokok anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Malaysian Institute of Planners (MIP) yang disertai tujuh pemaju perumahan merupakan usaha sangat baik.

“Program seperti ini harus diteruskan di kawasan lain dan tidak terhad di Kinrara sahaja,” katanya yang juga wakil rakyat Kinrara ketika ditemui pada program Pledge and Plant A Tree (PAPAT) di BK 3/1 Bandar Kinrara di sini, hari ini.

Sebanyak 35 pokok pelbagai spesis ditanam di kawasan sekitar kawasan antaranya termasuklah Rantai Emas, Kiara Payung, Cempaka Putih, Bungor dan Black Rosewood.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) ditemani Presiden Institut Perancang Malaysia Datin Noraida Saludin dan Timbalan Pengarah Perancang Bandar MBSJ Hazman Mohd Mahayudin bergambar bersama peserta program Pledge and Plant A Tree (PAPAT) selepas menanam 35 pokok pelbagai spesis di BK 3/1 Bandar Kinrara, Subang Jaya pada 13 Januari 2023. Foto ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perancang Bandar MBSJ Hazman Mohd Mahayudin berkata pihaknya menyasar 350,000 pokok ditanam pada tahun ini dengan memfokuskan spesis penyerapan tinggi dan bertahan lama.

“Pada 2022, kita tanam 227,863 pokok dan terus meningkat tahun lalu sebanyak 320,000. Justeru tahun ini, kita sasar lebih banyak lagi pokok ditanam, sebanyak 350,000.

“Kita fokus kawasan yang kurang pokok seperti hari ini di padang. Selepas ini akan diteruskan di Puchong Jaya, Seri Kembangan dan Putra Permai,” ujarnya.

Presiden MIP Datin Noraida Saludin pula berkata program penanaman pokok merupakan acara tahunan sejak 2008 di bawah tanggungjawab sosial korporat.

“Kita anjurkan bersama MBSJ sejak tahun lalu dan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri.

“MIP berharap setiap pokok yang ditanam mendapat kerjasama penduduk untuk menjaganya dan tidak bergantung sepenuhnya kepada PBT,” katanya.


Pengarang :