Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di Jalan Persiaran Elmina 1/1, Kuala Selangor pada 11 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor terus projek turapan jalan mega, pasang lampu LED

KLANG, 10 JAN: Kerja turapan jalan secara besar-besaran yang dilaksana di sembilan daerah tahun lalu akan diteruskan, kata EXCO infrastruktur.

Menurut Ir Izham Hashim, projek lain yang diteruskan demi manfaat rakyat Selangor adalah pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED).

“Selain turapan mega, program Selangor Bercahaya yang mana lampu LED tiang merah akan diteruskan tahun ini cuma jumlah peruntukan berbeza. Contohnya turapan jalan menelan belanja RM50 juta, mungkin RM20 juta sahaja.

“Usaha ini lebih baik dan perlu berterusan supaya semua rakyat dapat manfaat. Saya akan maklumkan peruntukan untuk kedua-dua projek ini dalam masa terdekat,” katanya ditemui pada majlis serahan bantuan peralatan tangkapan ikan dan bakul makanan kepada nelayan di lima daerah menerusi Program Pembangunan Agropreneur di Jeti Sungai Sireh di sini, semalam.


EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Agropreneur Bantuan Nelayan di Jeti Pengkalan Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Izham turut memaklumkan, pelaksanaan kedua-dua projek itu kali ini membabitkan wakil rakyat dan ahli majlis kawasan masing-masing.

“Sebelum ini, projek ini hanya libat pihak berkuasa tempatan sahaja, kini saya minta kerjasama ahli dewan negeri dan ahli majlis.

“Ini bagi mengelakkan terlepas pandang atau melakukan di tempat sama sahaja, ini kita tidak mahu…sebab itu projek diteruskan dengan libat wakil rakyat dan ahli majlis,” katanya.

Projek Turapan Mega yang diselenggara Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar berkata projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta itu bagi memastikan jalan raya negeri ini dalam keadaan baik untuk keselamatan pengguna.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pemilihan jalan untuk dibaik pulih berdasarkan aduan tertinggi daripada orang awam yang mereka laporkan menerusi Twitter atau aplikasi Infrasel.

Lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dipasang di kawasan Serendah, Hulu Selangor pada 1 Julai 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Pengarang :