SERDANG, 16 JAN: Hala tuju untuk menggerakkan dasar negara akan diberi tumpuan dalam program pemukiman jemaah menteri kerajaan perpaduan yang bermula esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan persekutuan mahu terus memandang ke hadapan, selain menggerakkan usaha melonjakkan ekonomi negara.
“Fokusnya lebih kepada melihat ke hadapan, program pelaksanaan, isu dasar dan langkah yang lebih spesifik. Kita sudah ada asasnya daripada segi peralihan tenaga, transformasi digital, pelaburan.
“(Apa) yang kita mahu adalah bagaimana mencari ikhtiar baharu yang betul-betul boleh melonjakkan kekuatan ekonomi dan negara keseluruhannya,” katanya berucap di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau merasmikan portal percuma kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat yang dibangunkan Kementerian Ekonomi bagi mendekatkan jurang literasi digital kepada masyarakat.
Anwar menambah isu miskin tegar juga antara perkara ditekankan pada program pemukiman berkenaan bagi memastikan tiada lagi pihak tercicir dalam pembangunan negara.
“Menoktahkan kemiskinan, kita dapat beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, selesai. (Itu) untuk 2023, tidak bermakna (semua) selesai pada tahun ini.
“Saya masih dapat laporan terkini kalau ada sedikit tercicir di mana-mana negeri,” katanya.