EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (tiga, kanan) bersama Pengarah Eksekutif Gadang Holdings Berhad Khew Check Kiet (dua, kiri) dan Pengarah Program Festival Rhythmba Aisy Mia Faydh (dua, kanan) selepas menyertai aktiviti penanaman pokok sempena Festival Rhythmba di Amphitheater UiTM Shah Alam pada 12 Januari 2024. Foto Agensi Prologue
AGENSISELANGOR

300 pokok ditanam, ceriakan Amphitheater UiTM Shah Alam

SHAH ALAM, 16 JAN: Sebanyak 300 pokok ditanam sekitar Amphitheater Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini dalam Festival Rhythmba yang julung kali diadakan pada 12 Januari.

Festival Alam dan Muzik anjuran Agensi Prologue, terdiri pelajar Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM serta Gadang Holdings Berhad sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Program itu dirasmikan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan penanaman pokok selaras matlamat pembangunan mampan dan impak terhadap alam sekitar.

“Ia juga bertujuan menaik taraf infrastruktur Amphitheater yang ditinggalkan selama beberapa tahun menjadi ‘Taman Mesra Alam’ pertama sekali gus tarikan utama UiTM Shah Alam,” katanya.


EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap merasmikan Festival Rhythmba di Amphitheater Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 12 Januari 2024. Foto Agensi Prologue

Festival itu menggamit kira-kira 700 peserta termasuk 22 anak yatim Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah yang menyertai penanaman pokok selain panjat dinding dan luncur keluang.

Lebih 15 penjual jenama tempatan dan gerai makanan dihimpun bagi menyokong perniagaan mereka termasuk penampilan kumpulan Teman Lelaki, Mohsein Kush, Raja Nazrin Shah serta Fimie Don.

“Festival ini memberi pengalaman menyeronokkan dan menghiburkan untuk semua. Objektif untuk memberi nafas baru kepada Amphitheater serta menyediakan persekitaran lebih hijau dan segar tercapai,” katanya.


Pengarang :