Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 10 JAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Sungai Buloh mengekalkan kejuaraan syarikat terbaik menerusi program usahawan muda Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Kejayaan dua tahun berturut-turut itu membawa syarikat Tuah Gading Sdn Bhd dinobat sebagai pemenang Piala Pusingan Ketua Pegawai Eksekutif Program Tunas Niaga (PROTUNe) Selangor 2023.
Anugerah lain yang turut dimenangi ialah Perkhidmatan Terbaik (kedua), Laporan Kewangan Terbaik (johan), Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik (ketiga), Persembahan Terbaik (johan) dan Sekolah Terbaik (kedua).
Guru bimbingannya Nor Azliani Razalli berkata komitmen 100 peratus diberikan ahli syarikat, guru serta pentadbir membawa kepada kejayaan besar sekolah mereka.
“Sejak 2017 kami memenangi anugerah persembahan terbaik dan menjadi pemangkin semangat untuk terus meningkatkan usaha sehingga berjaya memenangi beberapa anugerah serta syarikat terbaik.
“Tiada istilah putus asa untuk kami meningkatkan jualan setiap tahun dan melalui bimbingan PROTUNe, PKNS banyak memberi tunjuk ajar bagi memperbaiki hasil pendapatan untuk sekolah,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Konvensyen PROTUNe 2023 di Ibu Pejabat PKNS di sini hari ini. SMK Bukit Gading berjaya memperoleh hasil jualan RM150,000 tahun lalu.
Pemenang utama Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Muhammad Haikal Hazim Nor Mohd Sofian berkata kemenangan itu menaikan semangatnya untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
“Saya bersyukur terbabit dengan PROTUNe kerana banyak perkara baharu saya pelajari dan yang penting bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif.
“Tetapi melalui bimbingan yang diberikan, Alhamdulillah saya berjaya mengharunginya,” katanya yang mengemudi syarikat Irsul Najmi dari SM Agama Persekutuan Kajang.
Pemenang Anugerah Guru Bimbingan Terbaik, Zulhakim Munjari menganggap kemenangan syarikat Suajaya Madani membawa nama SMK Ungku Aziz ke peringkat lebih tinggi dalam bidang keusahawanan.
“Tahun lepas kami memenangi satu anugerah tetapi tahun ini sebanyak enam anugerah dirangkul sekolah. Alhamdulillah ia adalah kejayaan yang cukup membanggakan dengan sokongan barisan pentadbir dan warga sekolah.
“PROTUNe membawa kelainan dengan pendekatan secara kemahiran. Kami bukan sahaja menjual produk sebaliknya menjalankan usahasama mendapatkan barangan segar untuk dijual di sekolah,” katanya.