Pelanggan memilih beras di sebuah pasar raya di Semenyih pada 28 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Stok beras lebihi had lesen lebih RM131,000 disita di Selayang

PUTRAJAYA, 24 JAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyita 41 tan metrik stok pelbagai gred beras bernilai RM131,568 yang dipercayai disimpan melebihi had muatan dibenarkan di sebuah premis di Selayang, Selangor, semalam.

KPKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sitaan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM ketika melaksanakan pemeriksaan rutin ke atas premis-premis borong dan runcit yang menjual beras di sekitar Selayang.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis perniagaan menyimpan stok beras melebihi daripada had muatan yang dinyatakan di dalam lesen dan tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dengan menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan,” katanya.

KPKM memaklumkan hasil semakan juga mendapati perbuatan itu merupakan kesalahan kedua oleh syarikat berkenaan dan ia berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali kedua, jika didapati bersalah.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 (P.U (A) 624).

Sementara itu, pihak KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras 1996 dengan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhi peraturan itu.

Orang awam diminta menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan padi dan beras melalui Portal Aduan KPB (https://skpb.kpkm.gov.my/adu) atau menerusi talian penting Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183).

-BERNAMA


Pengarang :