Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad Ahimmat Mydin (tiga dari kiri) selepas merasmikan Mydin Mart cawangan Taman Kinrara, Puchong pada 24 Januari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mydin tawar konsep pasar raya komuniti, bantu pengguna berjimat, belanja berhemah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PUCHONG, 24 JAN: Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) hari ini membuka sebuah lagi cawangan berkonsep pasar raya komuniti di Taman Kinrara, di sini hari ini.

Pengarah eksekutifnya Ahimmat Mydin berkata pasar raya itu adalah cawangan ke 68 di seluruh negara.

Selain Taman Kinrara, Ahimmat berkata Mydin mempunyai enam cawangan baharu di Selangor iaitu Balakong Jaya, Seri Kembangan; Raja Muda Musa dan Bukit Kuda (Klang); Desa Latina (Shah Alam); Subang Angsana (Subang) serta Alam Suria (Puncak Alam).

“Mydin sentiasa mendengar saranan dan permintaan pelanggan setia yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tawaran harga serta promosi seperti ditawarkan di pasar raya besar atas faktor lokasi.

“Pembukaan Mydin Mart ini memberi pilihan dan kemudahan kepada mereka mendapatkan barangan berkualiti pada harga cukup kompetitif di pasaran. Kita harap masyarakat sekitar boleh berbelanja secara berhemah dan berjimat dengan tawaran harga berpatutan,” katanya ditemui selepas merasmikan Mydin Mart cawangan Taman Kinrara, Puchong.

Mengulas lanjut, Ahimmat berkata pihaknya bercadang untuk terus memperluas dan menambah cawangan di kawasan perumahan bagi memudahkan komuniti berbelanja di Mydin.

“Kita menerima banyak maklum balas dan permintaan penduduk setempat untuk membuka cawangan di kawasan perumahan mereka.

“Namun ia bergantung pada keluasan tapak kerana Mydin Mart memerlukan keluasan kedai untuk menempatkan antara 3,500 sehingga 6,500 unit simpanan stok atau dua ke empat lot kedai,” katanya.


Pengarang :