Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyantuni jemputan diraja ke Majlis Persantapan Diraja sempena istiadat perkahwinan Pengantin Diraja Brunei di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 14 Januari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri berkenan santuni jemputan diraja sempena perkahwinan Putera Mateen

SHAH ALAM, 15 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyantuni jemputan diraja ke Majlis Persantapan Diraja sempena istiadat perkahwinan Pengantin Diraja Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bersama isteri Dayang Anisha Rosnah.

Selangor Royal Office menerusi Facebook memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selamat tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi majlis itu semalam.

“Setibanya di villa penginapan tetamu kehormat, Baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama (TYT) Raja Dato’ Reza Raja Zaib Shah dan isteri Datin Roslina Ismail.

“TYT Raja Dato’ Reza adalah anak kepada Orang Besar Istana Selangor, Yang Dimuliakan Engku Seri Perdana Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj Raja Mohamad,” menurut kenyataan itu hari ini.

Semalam, istiadat bersanding mempelai pengantin diraja berlangsung di Istana Nurul Iman yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabul dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan Khamis lalu.

Mateen, 32, ialah anak ke-10 Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah manakala Dayang Anisha, 29, cucu kepada salah seorang penasihat utama ayahandanya.


Pengarang :