Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad (enam, kanan) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (lima, kanan) pada program gotong royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang pada 7 Januari 2024. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

Tanah kubur Islam Ukay Perdana fasa tiga dibuka Mac, tampung 2,500 jenazah

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang membangunkan tanah perkuburan Islam Ukay Perdana fasa tiga di Ampang yang dijangka siap Mac depan.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata pembukaan kawasan baharu membabitkan kos sejumlah RM2 juta itu dijangka dapat menampung kapasiti 2,500 jenazah.

“Pembangunan tanah perkuburan Islam Ukay Perdana fasa satu membabitkan kos RM1.1 juta dengan kapasiti 3,978 jenazah manakala bagi fasa dua sebanyak RM532,000 dengan kapasiti 750 jenazah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata MPAJ mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan Islam di bawah pentadbirannya yang melibatkan kira-kira 300 sukarelawan.

“Selain mengeratkan hubungan MPAJ dengan komuniti setempat dan agensi terlibat, kawasan tanah perkuburan yang bersih membantu mewujudkan suasana tenang dan memberi keselesaan kepada waris yang datang menziarah.

“Siri gotong-royong telah diadakan di tanah perkuburan Islam Cheras Baru, Bukit Permai 2 dan Ukay Perdana pada Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata siri gotong-royong membersihkan tanah perkuburan diteruskan hari ini di tanah perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dato Mufti Shuib, ahli kariah Masjid Taman Kosas, Masjid Bukit Indah, Masjid Al-Aman dan Masjid Jamiul Huda serta waris-waris.

“Ia turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad yang memberi bantuan daripada segi makanan serta peralatan gotong-royong,” katanya.

Sukarelawan menyertai program gotong royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang pada 7 Januari 2024. Foto MPAJ

Pengarang :