Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 27 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS: Program jualan murah barangan asas disambung semula 15 Januari

SHAH ALAM, 7 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan bermula 15 Januari ini.

“JER akan berehat seketika bermula 1 Januari hingga 14 Januari. JER akan kembali beroperasi pada Isnin, 15 Januari,” maklum agensi itu di Facebook.

Jualan itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 2 Januari, Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata program jualan murah barangan asas itu akan diakan di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, lokasi tersebut tidak termasuk dengan program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sejumlah RM30.8 juta nilai jualan diperoleh menerusi penganjuran JER di lebih 1,000 lokasi sepanjang tahun lalu.


Pengarang :