EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi merasmikan Festival Makanan Selangor Havoc 2024 di kawasan tempat letak kereta Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam pada 13 Februari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

160 gerai di festival makanan Selangor, belon udara panas jadi tarikan

SHAH ALAM, 13 FEB: Orang ramai berpeluang menikmati pelbagai hidangan menarik pada harga berpatutan di Festival Makanan Selangor Havoc 2024 bermula hari ini.

EXCO pemberdayaan usahawan berkata program sempena Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor 2024 (BATC) menghimpunkan 160 pengusaha makanan dari seluruh negeri.

“Festival makanan ini memberi peluang kepada usahawan untuk sama-sama ambil bahagian dan memeriahkan BATC yang menyaksikan Selangor menjadi tuan rumah sekali lagi kali ini.

“Ia juga diadakan sempena musim cuti sekolah dan seisi keluarga dapat meluangkan masa merapatkan hubungan silaturahim di sini,” kata Najwan Halimi selepas merasmikan festival berkenaan hari ini.

EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan
Festival Makanan Selangor Havoc 2024 di kawasan tempat letak kereta Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam pada 13 Februari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Diadakan di kawasan tempat letak kereta Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, Najwan berkata festival itu diadakan enam hari dengan pelbagai pengisian menarik.

Menurutnya, pengunjung juga berpeluang menaiki belon udara panas pada Sabtu dan Ahad ini dengan harga bermula RM80 seorang atau menerusi pakej keluarga yang disediakan.

“Hari ini juga kita sediakan 100 baucar makanan kepada pengunjung terawal dengan nilai RM10,000. Kita sasarkan kehadiran lebih ramai pengunjung terutamanya pada hujung minggu,” katanya.


Pengarang :