Anggota polis menyuraikan aliran trafik memasuki Melaka sempena Op Selamat 18 ketika tinjauan pada 4 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 6,000 polis trafik ditugas sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menempatkan 6,559 pegawai dan anggotanya di seluruh negara untuk penugasan Op Selamat 21 yang bermula Khamis ini sehingga 13 Feb sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata susulan penugasan itu, kesemua cuti mereka dibekukan bagi memastikan kelancaran Op Selamat yang bertemakan ‘Kehadiran JSPT dirasai’.

Beliau berkata objektif melaksanakan Op Selamat adalah untuk penguatkuasaan lalu lintas, mencegah jenayah dan menjaga keselamatan harta benda serta premis yang ditinggalkan sepanjang tempoh perayaan itu.

“Sepanjang musim perayaan, kami mendapati akan ada pertambahan kenderaan di atas jalan raya terutama untuk balik kampung,” katanya.

Mohd Azman berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program ‘Selamat Pagi Malaysia’ anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 547 lokasi hotspot dan blackspot dikenal pasti di seluruh negara.

“Sebanyak 18 lokasi hotspot dan 46 kawasan blackspot dikenal pasti di kesemua lebuh raya manakala 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot dikesan di negeri-negeri dan daerah.

“Kawasan blackspot adalah kawasan yang mencatat kemalangan maut lebih tiga kes, manakala hotspot ialah kawasan sesak,” katanya.

Bercakap mengenai kewaspadaan sebelum meninggalkan rumah, beliau berkata aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) juga digalakkan untuk digunakan oleh masyarakat dengan mengisi butiran penting sebelum meninggalkan kediaman ketika musim perayaan ini.

“Ini supaya PDRM boleh meletakkan petugas secukupnya di lapangan, rondaan berkala juga akan dilakukan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan jenayah komuniti berlaku,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :