Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dataran Parlimen pada 26 Februari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah akan teliti sendiri perbelanjaan kerajaan, sokong langkah penjimatan

SHAH ALAM, 26 FEB: Yang di-Pertuan Agong bertitah Baginda menyokong hasrat kerajaan untuk segera mengambil langkah penjimatan dan melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

Sultan Ibrahim bertitah Baginda berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar disebabkan sejak 1998 kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal.

“Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti? Jawapannya adalah pada semua ahli dewan di sini.

“Keadaan kewangan yang telah lama lemah akan menyukarkan untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat dan menyampaikan titah dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Foto BERNAMA

“Oleh itu saya sokong hasrat kerajaan untuk segera ambil langkah penjimatan termasuk melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar,” titah Baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.

Titah Sultan Ibrahim Baginda sendiri akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah perkara yang betul-betul diperlukan.

“Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan memperoleh lebihan fiskal setiap tahun,” titah Baginda.

Baginda berharap kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi mampan sejajar keperluan semasa.

“Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap.

“Polisi yang dibuat di peringkat persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan berbeza-beza terutama dalam sektor pembangunan hartanah,” titah Baginda.

Baginda bertitah kerajaan juga perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan berpatutan.

“Dengan peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara, ramai graduan bermutu tinggi berjaya dihasilkan namun peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki,” titah Baginda.


Pengarang :