EXCO Hal Ehwal Pengguna Datuk Rizam Ismail (tengah) melihat barangan yang dijual sempena Pemeriksaan Pematuhan Skim Harga Maksimum Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Pasaraya NSK Seri Kembangan, Subang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Bawang putih, lobak antara barangan dikawal harga sempena Tahun Baharu Cina

SUBANG JAYA, 6 FEB: Sebanyak 11 jenis barangan disenarai harga terkawal menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 berkuat kuasa hari ini.

Berlangsung hingga 14 Februari, skim itu menurut EXCO hal ehwal pengguna melibatkan barangan seperti bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah.

Datuk Rizam Ismail berkata barangan lain ialah kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), babi hidup, daging babi termasuk perut dan lemak.

“(Turut termasuk) udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram) dan ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor),” katanya ditemui pasar raya NSK di sini hari ini.

Orag ramai membeli barangan keperluan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Pasaraya NSK Seri Kembangan, Subang Jaya pada 6 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau menambah semua barangan dikawal bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan skim berlangsung empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan empat hari selepas perayaan.

Dalam pada itu, Rizam berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor akan menggerakan 276 penguat kuasa untuk memeriksa pematuhan harga kawalan.

“Pemeriksaan melibatkan enam cawangan KPDN Selangor di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan seluruh negeri,” katanya lagi.

 


Pengarang :