Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah (tengah) ketika mengadakan sidang media Jelajah Pendidikan TVET dan Badan Beruniform Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, Klang pada 4 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Ekspo pendidikan TVET, kerjaya badan beruniform Mac depan

KLANG, 4 FEB: Orang ramai dijemput menyertai Ekspo Interaktif: Jelajah Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kerjaya Badan Beruniform Selangor 2024 (I-TVET’ EX 24) pada 23 dan 24 Mac depan.

Bertempat di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, ekspo anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa dengan beberapa badan bukan kerajaan terbuka kepada semua terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunaraj berkata pelbagai aktiviti tersedia termasuk 30 reruai pameran pelbagai agensi berkaitan, sesi perkongsian individu berjaya dalam bidang TVET selain cabutan bertuah.

“Antara agensi kerajaan terlibat termasuk universiti teknikal, politeknik, kolej komuniti dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang akan menyertai reruai pameran dan menyediakan wakil mereka bagi memberi penerangan jelas kepada pengunjung mengenai program ditawarkan di agensi masing-masing.

“Bagi badan beruniform wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Penjara Malaysia turut dijemput.

“Kita mahu pengunjung dapat maklumat terus daripada wakil agensi supaya mereka lebih faham laluan kerjaya terkini dan tersedia dalam bidang TVET serta badan beruniform seperti program yang ditawarkan, syarat kelayakan, kos yang diperlukan dan pasaran kerja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Gunaraj berkata pihaknya mensasarkan lebih 3,000 pengunjung bagi mendapatkan maklumat mengenai bidang dan keperluan pasaran pekerjaan terkini.

“Selepas ekspo ini berlangsung, kita akan bantu pengunjung terutama pelajar lepasan SPM dengan membuat susulan seperti pendaftaran masuk ke institusi berkaitan selepas mereka dapat keputusan peperiksaan nanti.

“Di harap ekspo seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan dan penerangan mengenai TVET sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya dan penerimaan mereka terhadap bidang itu,” katanya.


Pengarang :