Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

KPN: Gaji rendah, sikap antara faktor pegawai, anggota polis terlibat rasuah

SHAH ALAM, 4 FEB: Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain tidak menafikan gaji rendah dan sikap individu antara faktor menyebabkan pegawai serta anggota terlibat dalam kesalahan rasuah.

Beliau berkata selain faktor itu, banyak lagi faktor lain yang perlu dilihat ke arah melahirkan pegawai dan anggota bersih serta berintegriti.

“Memang saya akui, gaji itu satu daripada faktor. Saya ambil indikator begini gaji konstabel termasuk elaun RM2,500 menetap di Kuala Lumpur dia (dikategorikan) miskin bandar, tetapi, kalau duduk di Kuala Nerang (Kedah), Besut (Terengganu) dan Kinabatangan (Sabah) atau Beluran (Sabah) gaji dia itu banyak, itu antara satu faktor yang perlu dilihat.

“Kalau dibandingkan dengan Singapura tiada rasuah sebab gaji kecil kerana itu negara kecil. Kita sendiri ada 137,000 personel dan akan bertambah pada tahun ini dengan kemasukan 4,000 lagi (pegawai dan anggota polis),” katanya kepada pemberita selepas program Walkabout di Pasar Pagi Pandamaran di sini, hari ini.

Razaruddin turut menjelaskan bahawa masih terdapat kes rasuah membabitkan golongan berpendapatan tinggi.

“Kalau gaji konstabel ini sikit dan terlibat dalam rasuah, saya boleh bagi peratusannya, kita juga biasa dengan berita apabila ada pengarah syarikat dan agensi pun ditangkap. Adakah gaji mereka sedikit? Oleh itu, perkara ini lebih kepada sikap seseorang itu,” tegas Razaruddin.

Dalam pada itu, Razaruddin berkata mana-mana pihak boleh membuat laporan terhadap dirinya sekiranya beliau melanggar undang-undang atau peraturan.

“Masyarakat mempunyai hak dari segi undang-undang dan perlembagaan dalam menyalurkan maklumat atau membuat laporan terhadap mana-mana polis di negara ini. Sekiranya, saya langgar undang-undang dan tidak ikut peraturan, laporkan disebabkan saya pun polis.

“Kita memang terbuka dan mengalu-alukan masyarakat di seluruh negara beri maklumat dan laporkan supaya siasatan adil dapat dijalankan. Mana-mana pegawai dan anggota terlibat, kita akan tuduh di mahkamah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :