EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah (enam, kanan) menunaikan solat subuh bersama jemaah di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO agama tunai solat Subuh bersama lebih 700 jemaah di Masjid Jamek Sultan Ibrahim

KUALA SELANGOR, 24 FEB: Lebih 700 jemaah hadir berjemaah solat Subuh di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini pada program Solat Subuh Macam Jumaat sempena program Madani Rakyat Zon Tengah hari ini.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah menyifatkan kehadiran orang ramai bersolat Subuh di masjid tersebut satu perkembangan yang amat baik berbanding penyertaan jemaah sebelum ini.

“Program Solat Subuh Macam Jumaat ini adalah program kedua kita dalam program Madani Rakyat Zon Tengah di sini.

“Saya gembira melihat kehadiran kira-kira 700 jemaah tanpa mengira latar belakang, berbanding saya difahamkan hanya 30 jemaah sahaja solat subuh pada hari biasa,” katanya kepada Selangorkini.

Fahmi berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan kesinambungan program Solat Subuh Macam Jumaat menerusi acara di Jelajah Karnival Madani di setiap daerah.

Wakil rakyat Seri Setia itu turut meluangkan masa beramah mesra dan bertanya khabar kepada orang ramai serta ahli jawatankuasa masjid sebelum bersurai.

Jemaah menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor pada 24 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :