Temu bual Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor bersama SelangorKini di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) pada 31 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ringan beban golongan asnaf, MBI agih zakat wakalah hampir RM1 juta

SHAH ALAM, 24 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan zakat wakalah hampir RM1 juta kepada golongan asnaf pada setiap tahun.

Ketua tanggungjawab sosialnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata agihan zakat wakalah tersebut melibatkan empat kategori penerima iaitu fakir, miskin, gharimin dan fisabilillah.

“Setiap tahun MBI akan membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor sebelum ketibaan bulan Ramadan. Tiga perlapan jumlah bayaran akan dipulangkan semula kepada MBI untuk salur zakat wakalah.

“Permohonan zakat oleh pihak masjid, surau dan institusi agama lain akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Zakat MBI. Mesyuarat diadakan setiap bulan untuk semakan permohonan yang diterima,” katanya kepada Selangorkini.

Wakil MBI menyampaikan zakat wakalah kepada keluarga pemandu ambulans Mohamad Anis Tacor, 48, yang terlibat kemalangan jalan raya. Foto MBI

Dalam pada itu, Azri memaklumkan MBI semalam menghulurkan RM3,000 zakat wakalah kepada keluarga pemandu ambulans Mohamad Anis Tacor, 48, yang terlibat kemalangan jalan raya pada Februari tahun lalu.

“MBI juga kini dalam proses untuk membantu keluarga mangsa mengemukakan permohonan bantuan zakat bulanan kepada LZS,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada penerima bantuan, Aishah Awang, 47, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk kos rawatan buat suaminya dan belanja keperluan keluarga.

“Sejak suami saya kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Tanjong Karang, hanya saya seorang sahaja bekerja. Gaji saya sebagai guru KAFA tidak mencukupi menampung keperluan keluarga, jadi saya hargai sumbangan zakat diberikan MBI.

“Selain kos rawatan, saya perlu menanggung kos perbelanjaan dua orang anak saya yang masih bersekolah. Anak sulung saya terpaksa berhenti dari pengajian di Universiti Teknologi Mara (UITM) Raub untuk menjaga suami saya,” katanya.

Wakil MBI menyampaikan zakat wakalah kepada keluarga pemandu ambulans Mohamad Anis Tacor, 48, yang terlibat kemalangan jalan raya. Foto MBI

Pengarang :