EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Anfaal Saari bercakap kepada media sempena kunjungan ke pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Shah Alam pada 6 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Kertas kerja ekonomi penjagaan dibentang minggu depan

SHAH ALAM, 6 FEB: Kertas kerja ekonomi penjagaan akan dibentang di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selewat-lewatnya minggu depan.

EXCOnya Anfaal Saari berkata rangka kerja itu akan menjadi punca kuasa kepada penggunaan dana atau belanjawan bagi ekonomi penjagaan negeri.

“Untuk pengetahuan, peruntukan RM1 juta disediakan untuk membangunkan dasar advokasi ekonomi penjagaan. Rangka kertas kerja ini akan dibentang di MMKN esok atau selewatnya minggu depan.

“Kita akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) The Asia Foundation yang pakar dalam penyelidikan ekonomi penjagaan.

“The Asia Foundation merupakan yayasan yang berpusat di Amerika Syarikat dan mempunyai 20 negara seluruh dunia termasuk Malaysia. Mereka akan memberikan input kepada kita berhubung ekonomi penjagaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan ke pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Anfaal Saari mengadakan kunjungan ke pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Shah Alam pada 6 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Anfaal turut memaklumkan Kerajaan Negeri kini dalam proses memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama Majlis Guaman Selangor berkaitan Dana Bantuan Guaman.

“Kita akan segerakan perjanjian ini kerana libat beberapa perincian perundangan. Dana ini memberi manfaat kerana bukan sahaja menerima kes sivil tetapi syariah.

“Oleh itu, kita akan pergiat hebahan perkhidmatan ini di pusat khidmat rakyat kerana peruntukan disediakan berjumlah RM700,000,” katanya.


Pengarang :