SHAH ALAM, 6 FEB: EXCO pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat mengunjungi pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.
Anfaal Saari berkata kunjungan kali pertama itu bagi membina kerjasama dengan media rasmi Kerajaan Negeri terutama dalam mempromosi inisiatif penjagaan ekonomi.
“Jika kita ada dasar yang bagus penyampaian maklumat ke bawah tidak berkesan, ia tidak ke mana-mana. Perlu saling bertukar pendapat dan kerjasama strategik antara pejabat EXCO dan MSSB.
“Hasil pembentangan tadi kita saling bertukar pendapat dan ada persetujuan yang bagus. Untuk 2024 ini, kita akan gerakkan (maklumat) lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Kunjungan beliau yang juga wakil rakyat Taman Templer disambut Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Ashaaree, Pengarang Kumpulan Fathi Aris Omar dan Ketua Kluster Operasi dan Strategik Mohd Zulkifli Ismail.
Terdahulu, Anfaal bersama beberapa kakitangan pejabatnya tiba kira-kira jam 10 pagi dan meluangkan masa lebih dua jam meninjau operasi dan ruang kerja MSSB.
Beliau turut beramah mesra dengan kakitangan MSSB serta melawat studio utama dan studio 2 selain berpeluang membaca berita di SelangorTV.