Lembaga Urus Air Selangor memantau Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600 pada 21 Februari 2023. Rutin berkenaan dilakukan setiap hari bagi memastikan ia mampu menampung bekalan air mentah alternatif selama 100 hari pada musim kemarau selain menangani permasalahan kualiti air ketika pencemaran. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
ADNSELANGOR

Hukuman lebih berat, tegas terhadap pihak sebabkan pencemaran air

SHAH ALAM, 28 FEB: Hukuman lebih berat dan tegas perlu dikenakan kepada mana-mana pihak atau individu yang menyebabkan pencemaran air di Selangor.

Wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata ia berikutan masalah gangguan bekalan air yang berlaku kebanyakannya disebabkan insiden pencemaran.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berucap dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Berdasarkan semakan di laman sesawang masalah gangguan ini punca utama bukanlah gangguan bekalan air bersih walaupun pada musim panas.

“Kebanyakan gangguan air yang berlaku ini disebabkan insiden pencemaran yang menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup sehingga kerja-kerja pembersihan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan (DYMM) Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sehingga ini, hukuman maksimum ke atas pencemar adalah denda RM500,000 serta penjara lima tahun.

Johan berkata pengguna air di Selangor ketika ini dianggarkan 6.2 juta dan Kerajaan Negeri perlu bersedia untuk berdepan cabaran kritikal dalam menangani krisis air seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Namun dalam masa sama saya juga memuji pelan persediaan dengan pelan pembangunan loji rawatan air dan projek Skim Jaminan Air Mentah,” katanya.


Pengarang :