Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berucap pada Wacana Bahasa: Keracunan Bahasa Tanggungjawab Bersama di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 28 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Empat PBT Selangor terbaik, capai taraf lima bintang mutu bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diiktiraf terbaik menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi menurut audit Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ketua pengarahnya berkata Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Daerah Sabak Bernam masing-masing mendapat lima bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan PBT.

“Program audit bahasa dilaksanakan untuk menilai tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi yang melibatkan dalam dan luar negara,” kata Dr Hazami Jahari .

Berucap dalam Wacana Penegasan Bahasa Kebangsaan di sini, beliau menjelaskan audit bahasa dibuat berdasarkan beberapa dokumen penting, antaranya Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari (empat dari kiri) bergambar bersama panel penyampai pada Wacana Bahasa: Keracunan Bahasa Tanggungjawab Bersama di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Selain itu, lima lagi PBT di Selangor mendapat empat bintang adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Diraja Klang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Sementara itu, Majis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor masing-masing mendapat penarafan tiga bintang.

Demi memartabatkan bahasa kebangsaan di peringkat PBT, Dr Hazami mencadangkan ketua agensi bersungguh-sungguh menguatkuasa peraturan penggunaan bahasa dan memantau bahan bertulis pada paparan awam.

Selain PBT, audit bahasa antara 2013 hingga 2023 juga menilai mutu penggunaan bahasa Melayu di peringkat kementerian, agensi, jabatan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan bank.

Agensi lain yang turut mendapat lima bintang antaranya termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Biokeselamatan, serta Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara turut meraih pencapaian tertinggi itu.


Pengarang :