Pengunjung memilih barangan asas dalam Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Paya Jaras di gelanggang bola keranjang Bukit Rahman Putra 7/2, Sungai Buloh pada 13 Februari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah wajar dimanfaat, bantu rakyat depani kos hidup

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 13 FEB: Jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam mendepani kos sara hidup ketika ini.

Pengunjung Zaiton Zainun, 64, berkata dia tidak pernah melepaskan peluang membeli keperluan harian setiap kali Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di kawasan Paya Jaras.

Meskipun perlu datang lebih awal untuk mendapatkan nombor giliran, warga emas itu memuji pengurusan program yang lancar dan memudahkan orang ramai untuk berbelanja.

Zaiton Zainun

“Apa yang penting tawaran harga dan kualiti produk terbaik serta mampu milik,” katanya ditemui dalam program di gelanggang bola keranjang Bukit Rahman Putra 7/2, hari ini.

Menyatakan pendapat sama, suri rumah Nani Mohd, 42, berkata amat merugikan jika orang ramai tidak mengambil peluang mendapatkan pelbagai produk yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Dia turut memuji usaha Kerajaan Negeri yang lebih ke hadapan membantu meringankan beban rakyat melalui program berkenaan yang diadakan setiap minggu di kawasan berbeza.

“Saya lihat negeri lain baru sahaja mula jualan murah berbanding Selangor. Harga seekor ayam hanya RM10, mana kita hendak dapat harga sama dalam pasaran luar?” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Ng Kok Chuan berpuas hati terhadap sambutan orang ramai dalam program yang julung kali diadakan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Ng Kok Chuan

“Kebanyakan pengunjung beri maklum balas positif berkenaan keselesaan menunggu sementara nombor giliran dipanggil. Meski diadakan pada musim perayaan, lebih 300 keluarga datang berbelanja,” katanya.

Selain ayam, jualan itu turut menawarkan produk seperti daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Program dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk jualan di cawangan Segi Fresh.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :