KUALA SELANGOR, 27 FEB: Kerajaan Negeri giat meneruskan kerja menaik taraf jalan raya rosak seluruh Selangor demi keselesaan dan keselamatan rakyat.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata kerja pembaikan jalan raya rosak bukan sahaja membabitkan kerja tampalan tetapi merangkumi semua aspek.
“Kerajaan Negeri setiap tahun menyediakan peruntukan lebih RM10 juta untuk menaik taraf jalan raya. Kita naik taraf struktur jalan tetapi tidak boleh lakukan semua kerana peruntukan tidak cukup,” katanya.
Ditemui selepas meninjau projek Skim Jaminan Air Mentah di sini semalam, Ir Izham berkata pihaknya turut melakukan inventori untuk mengenal pasti jalan kritikal yang perlu dinaik taraf.
“Di Selangor separuh daripada ratusan jalan raya telah tamat tempoh hayatnya. Tempoh hayat sesebuah jalan adalah 20 hingga 25 tahun.
“Kita boleh baiki tetapi tidak semua dan ia berperingkat. Buat masa ini, kita akan kenal pasti jalan yang kritikal untuk dinaik taraf,” katanya.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana kerja turapan jalan secara besar-besaran di sembilan daerah membabitkan 118 projek dengan jarak 94.9 kilometer.
Projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta itu bagi memastikan jalan raya negeri ini dalam keadaan baik untuk keselamatan pengguna selain meningkatkan kualiti jalan raya di seluruh Selangor.
Projek Turapan Mega yang diselenggara Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).