BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bertimpa diuji musibah, ikon tani miliki 100,000 pokok tembikai wangi

Ikon Agro Selangor 2022 Kamarul Iqbal Ismail meniti jalan berliku sebelum meraih anugerah itu yang disampai EXCO Pertanian Ir Izham Hashim pada 30 Oktober tahun lalu.

Bapa tiga anak itu tiga kali rugi jutaan ringgit gara-gara lambakan cili, akibat Covid-19 dan banjir besar 2021. Duit simpanannya habis. Dua rumah dan tiga kereta miliknya terpaksa dijual.

Anak muda berusia 35 tahun itu juga dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama 14 hari.

Kamarul Iqbal mula mengusaha cili secara sambilan pada 2012 atas tanah seluas 1.5 ekar di Kampung Bandar, Kuala Langat yang disewa daripada ibu saudaranya.

Ikon Agro Selangor 2022 Kamarul Iqbal Ismail ketika ditemu bual di Kampung Bandar, Kuala Langat pada 4 Disember 2023.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Asal minat bila tengok ladang kawan. Masa itu fertigasi baharu lagi di Malaysia,” kata lepasan sarjana muda kejuruteraan eletrik universiti di Adelaide, Australia kepada Selangorkini pada 4 Disember 2023.

Selepas enam tahun bekerja sebagai jurutera, beliau menceburi pertanian sepenuh masa dan menanam 6,000 pokok cili dalam beg poli.

Ia menghasilkan 10 hingga 12 tan cili dengan nilai jualan kira-kira RM72,000 setiap kali musim menuai. Dalam tempoh setahun, dua kali tuai.

Hasil lumayan meyakinkan anak jati Banting, Kuala Langat itu untuk membuka ladang cili 20 ekar di Tanah Tinggi Lojing, Kelantan bersama enam rakan kongsi.

Namun, harganya jatuh mendadak akibat lambakan cili Vietnam dalam pasaran sekali gus mereka tidak berupaya menampung kos mengangkut hasil ladang dari pedalaman. Bertan-tan cili terpaksa dilupus. Setiap rakan kongsinya kerugian antara RM200,000 hingga RM300,000.

Kegagalan itu mendorong Kamarul Iqbal ke ladang asal di Kampung Bandar. Beliau mendapati pasaran tembikai wangi (rock melon) stabil antara 2008 hingga 2014.

“Pada 2014, saya baiki ladang lama, bawa masuk 7,000 pokok. Mula-mula tidak jadi sebab silap baja, kaedah tidak betul dan belum kenal jenis serangan musuh.

“Anggaran kerugian masa percubaan antara RM20,000 hingga RM30,000 tetapi apabila dapat cara betul, masuk bulan ketujuh baru nampak hasil,” katanya.

60 tan sebulan

Kamarul Iqbal bekerjasama dengan pertubuhan peladang kawasan melalui penyewaan tanah untuk menambah ladang tembikai wangi. Menjelang 2018, beliau ada tujuh ladang berkeluasan 34 ekar yang mengeluarkan 60 tan hasil sebulan.

Ia termasuk yang bermutu tinggi jenis Golden Melon, Royal Melon Selangor dan 20 pokok jenis Japanese Arus Melon yang mencecah RM280 sebiji mengikut gred.

Turut dihasilkan, produk hiliran berasas tembikai wangi dan pembukaan kafe bermodal RM1.8 juta dengan seorang rakan kongsi.

Produk itu antaranya ais krim, kopi, teh, teh susu boba dan losyen yang dipasarkan di kafe di Cheras sebelum berkembang kepada lapan cawangan termasuk di Jalan Petaling dan Sri Petaling di Kuala Lumpur, Sabah, Melaka serta Kemboja pada 2019.

Kamarul Iqbal diuji lagi apabila wabak Covid-19 melanda setahun kemudian. Hampir semua sektor ekonomi ditutup. Kerugiannya jauh lebih besar. Beliau terpaksa menanggung kos operasi termasuk sewa dan gaji kakitangan tanpa sebarang hasil.

“Bila Covid-19 datang, saya bertahan selama dua tahun tetapi akhirnya tutup. Ini jadi punca saya masuk IJN hingga 14 hari, kena serangan jantung,” katanya.

Namun, dugaan belum berakhir. Ketika fasa pemulihan pandemik, banjir besar melanda Selangor pada hujung 2021. Empat ladang milik Kamarul Iqbal musnah. Kerugian dianggar RM400,000 tidak termasuk infrastruktur yang rosak.

Mujur beliau menerima Dana Kecemasan PKS 2.0 sebanyak RM200,000 daripada Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF). Menyusun semula operasi, Kamarul Iqbal mengecilkan operasi kepada tiga ladang.

Perlahan-lahan bangkit, kini Kamarul Iqbal ada lima ladang berkeluasan 26 ekar dengan 100,000 pokok.

Melalui insentif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Jabatan Pertanian Selangor, beliau menubuhkan Koperasi Melon Selangor untuk memasarkan produknya.

 


Pengarang :