Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar selepas majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Komik kaedah didik anak muda cintai alam sekitar

PETALING JAYA, 22 FEB: Mahu memberi kesedaran kepentingan alam sekitar kepada anak muda membuatkan seorang aktivis sosial terpanggil untuk menyedia kandungan komik.

Hishamuddin Rais berkata beliau berasa tercabar dan mahu menyumbangkan sesuatu untuk menyatu semua pihak dalam isu menangani pemanasan dunia.

“Alam sekitar ini merangkumi semua. Kalau kita tidak lakukan sesuatu kita akan pupus. Jadi saya tercabar kerana ini membabitkan kehidupan manusia secara keseluruhannya.

“Walaupun saya bukan saintis, saya menulis dan mahu beri pencerahan menerusi komik. Saya sediakan skrip dan ini pertama kali saya buat untuk komik. Dunia ini akhirnya milik anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai ahli panel pada Forum Pemanasan Dunia dan Alam Sekitar di PJ Live Arts, pusat beli-belah Jaya One di sini, malam tadi.

Forum sempena pelancaran buku Malapetaka Iklim dan komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau itu menampilkan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin sebagai moderator selain panelis lain iaitu Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Charles Santiago.

Dua lagi ahli panel ialah Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia Dr Khamarrul Azahari Razak dan wakil pertubuhan bukan kerajaan Greenpeace Climate and Energy Hamizah Shamsudeen.

Hishamuddin turut menuntut semua pihak khususnya golongan profesional menggunakan bahasa perantara lebih mudah bagi membantu menyebarluas kepentingan alam sekitar kepada masyarakat.

“Jangan guna bahasa terlalu saintifik atau bahasa aras tinggi. Macam mana makcik dan pakcik di kampung mahu faham tentang kitar semula dan sebagainya. Gunakan bahasa santai yang lebih mudah difahami,” katanya.


Pengarang :